Isnin, 21 September 2020 | 2:09pm
Presiden Uganda, Yowei Museveni mengumumkan pembukaan lapangan terbang antarabangsa dan sempadan negara itu pada Ahad. - AFP
Presiden Uganda, Yowei Museveni mengumumkan pembukaan lapangan terbang antarabangsa dan sempadan negara itu pada Ahad. - AFP

Uganda buka lapangan terbang, sempadan darat

KAMPALA (UGANDA): Uganda semalam mengumumkan pembukaan lapangan terbang dan pintu sempadan darat beroperasi semula selepas enam bulan ditutup susulan langkah mencegah penularan COVID-19.

Presiden Uganda, Yowei Museveni, berkata, warga asing boleh memasuki negara itu dengan syarat mereka disahkan negatif ujian COVID-19 dalam tempoh 72 jam sebelum itu kemasukan, lapor agensi berita Xinhua.

"Lapangan terbang antarabangsa dan sempadan darat kini dibuka untuk pelancong, yang keluar dan masuk, dengan syarat mereka diuji negatif 72 jam sebelum tiba di Uganda," katanya yang disiarkan menerusi televisyen.

Beliau berkata, langkah pencegahan akan diambil bagi memastikan pelancong dan rakyat Uganda yang pulang tidak bercampur.

"Pelancong akan dibawa terus dari lapangan terbang ke destinasi mereka atau transit ke hotel yang ditetapkan," kata Museveni.

Jelasnya, rakyat Uganda yang kembali dari luar negara dan negatif ujian COVID-19 dibenarkan pulang terus ke rumah serta tidak perlu menjalani 14 hari kuarantin seperti sebelum ini.

Namun katanya, kementerian kesihatan akan merekodkan alamat mereka untuk tindakan susulan.

"Dengan ini, perintah kawalan pergerakan di sempadan telah dibatalkan," kata Museveni.

Menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Uganda minggu lalu, penerbangan antarabangsa akan disambung semula pada 1 Oktober ini, kira-kira enam bulan selepas pemerintah menutup lapangan terbang berikutan pandemik COVID-19. - BERNAMA

Berita Harian X