Jumaat, 18 September 2020 | 10:19am
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

Polis Uganda buru 200 banduan

KAMPALA: Lebih 200 banduan melarikan diri dari sebuah penjara dan dipercayai bersembunyi di kawasan berbukit berhampiran bandar Moroto, Uganda.

Menurut jurucakap penjara, Frank Baine, tindakan banduan berkenaan menyerang pengawal dan merampas senjata mereka mengakibatkan empat terkorban

"Banduan terbabit turut mencuri pistol dari depoh senjata penjara kerajaan sebelum melarikan diri ke kawasan hutan berbukit di wilayah terpencil itu, dengan pihak polis dan tentera mengejar mereka termasuk menggunakan helikopter.

"Tiga banduan dan seorang anggota tentera disahkan maut setakat ini selepas berbalas tembakan dengan pihak berkuasa.

"Ada antara banduan terbabit berlari separuh bogel selepas menanggalkan pakaian penjara berwarna kuning terang yang mudah dikesan

"Kita juga berjaya menangkap kembali tujuh banduan selepas berbalas tembakan dan bakinya akan terus dicari," katanya.

Beberapa warden penjara turut dicederakan ketika banduan terbabit melarikan diri, dalam kes yang dianggap jarang sekali berlaku dalam sejarah jabatan penjara Uganda.

Pesuruhjaya Penjara Uganda, Johnson Byabashaija, berkata pasukan pemantau menggunakan helikopter sedang giat mencari kawasan sekeliling.

"Ada antara banduan ini adalah penjenayah berbahaya yang terbabit dalam kes curi lembu menggunakan senjata di serata Karamoja, sebuah wilayah miskin bersempadan dengan Sudan Selatan dan Kenya.

"Kami bimbang senjata yang dicuri ini mungkin digunakan untuk jenayah, namun kami yakin pihak berkuasa dapat memberkas mereka semula dan orang ramai dinasihatkan bertenang," katanya. - AFP

Berita Harian X