Selasa, 8 September 2020 | 10:18am
Menteri Buruh Uganda, Mwesigwa Rukutana.
Menteri Buruh Uganda, Mwesigwa Rukutana.

Cubaan membunuh: Menteri Buruh Uganda ditahan

KAMPALA: Menteri Buruh Uganda direman dan dipenjarakan, semalam, kerana didakwa atas cubaan membunuh, lapor agensi berita Anadolu.

Mwesigwa Rukutana yang ditangkap pada Sabtu lalu, didakwa mengambil pistol milik seorang pengawalnya sebelum melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang menyokong pesaing politik beliau, Naome Kabasharira.

Beliau didakwa bertindak sedemikian selepas tewas pada pilihan raya tempatan di daerah Ntungamo di barat Uganda.

Jurucakap polis, Fred Enanga, berkata seorang mangsa dikenali sebagai Dan Rwiburingi yang parah di kepala, dikejarkan ke Hospital Ntungamo dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal, sementara mangsa lain cedera ringan.

Rukutana berdepan tujuh pertuduhan, termasuk cubaan membunuh, melakukan serangan dan ancaman keganasan.

Presiden Uganda, Yoweri Museveni, mengecam tindakan itu dalam ucapannya, semalam.

"Menteri Rukutana dipenjarakan bersama pengawalnya dan mesti didakwa.

"Mereka perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas perbuatan yang dilakukan," kata Museveni. – BERNAMA

Berita Harian X