Jumaat, 3 Julai 2020 | 8:35pm
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

Kumpulan bersenjata bunuh 30 penduduk kampung di Mali

BAMAKO: Kumpulan lelaki bersenjata membunuh sekurang-kurangnya 30 orang awam dalam serangan secara serentak di beberapa perkampungan di Mali.

Pihak berkuasa berkata, serangan pada Rabu lalu itu berlaku di rantau Bankass tetapi belum dapat disahkan kerana maklumat sukar diakses dari sana.

Seorang penduduk kampung yang enggan dikenali mendakwa kumpulan lelaki beruniform menaiki trak menyerang empat perkampungan dihuni kumpulan etnik Dogon.

"Kebanyakan yang maut adalah wanita, kanak-kanak dan warga tua selain ramai lagi masih hilang serta harta benda dimusnahkan," katanya.

Menurut statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan lalu, pergolakan di Mali sudah mengorbankan hampir 600 orang awam tahun ini.

Pertempuran antara kumpulan etnik Fulani dan Dogon meningkat sejak kebelakangan ini dengan penubuhan kumpulan militan dalam kalangan masyarakat masing-masing bagi mempertahankan diri. - AFP

Berita Harian X