Sabtu, 23 Mei 2020 | 9:47am
Seorang penduduk memakai pelitup muka di Afrika yang kini merekodkan lebih 100,000 kes jangkitan COVID-19. - FOTO AFP
Seorang penduduk memakai pelitup muka di Afrika yang kini merekodkan lebih 100,000 kes jangkitan COVID-19. - FOTO AFP

COVID-19: Afrika catat lebih 100,000 kes

PARIS: Afrika kini telah merekodkan lebih 100,000 kes jangkitan COVID-19, menurut satu penjumlahan AFP berdasarkan angka rasmi, semalam.

Sejumlah 100,002 kes didaftarkan dengan 3,095 kematian di seluruh benua itu, setakat jam 11 pagi semalam.

Negara di utara Afrika mencatatkan kadar kematian tertinggi dengan didahului Mesir yang merekodkan 696 korban daripada 15,003 kes dan Algeria (575 kematian daripada 7,728 jangkitan).

Di selatan Sahara, sebanyak 397 kematian dengan 20,125 jangkitan dilaporkan di Afrika Selatan, manakala Nigeria pula 211 korban bersama 7,016 jangkitan.

Namun, angka kes COVID-19 di benua itu adalah jauh lebih kecil berbanding 1,577,758 jangkitan dan 96,978 kematian di Amerika Syarikat (AS), serta Eropah (1,974,501 jangkitan dan 171,011 korban), setakat ini.

Bagaimanapun, pakar memberi amaran bahawa angka kes di Afrika itu berkemungkinan kurang daripada skala sebenar berikutan kekangan kapasiti ujian wabak berkenaan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ketika mengumumkan angka mencecah 100,000 kes itu, berkata virus berkenaan telah menular ke setiap negara di benua terbabit sejak kes pertama disahkan kira-kira 14 minggu lalu.

Katanya, penularan penyakit itu dilihat berbeza di Afrika berbanding benua lain.

Angka itu tidak berkembang pada kadar eksponen sama seperti di tempat lain dan setakat ini, Afrika tidak mencatatkan jumlah korban yang tinggi sebagaimana sebilangan negara di dunia.

Pengarah rantau Afrika WHO, Dr Matshidiso Moeti, berkata meskipun angka kematian tidak tinggi seperti di benua lain, mereka tetap perlu berwaspada kerana memiliki sistem kesihatan yang lemah dan tidak mampu berdepan peningkatan kes secara mendadak.

Golongan dewasa lebih tua menghadapi risiko lebih tinggi - hampir 95 peratus kematian di Eropah membabitkan pesakit berumur 60 tahun ke atas - sedangkan lebih 60 peratus penduduk di Afrika berumur bawah 25 tahun. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X