Jumaat, 22 Mei 2020 | 8:33am
KEMATIAN di Brazil melebihi 20,000 akibat COVID-19. (Foto/Agensi)
KEMATIAN di Brazil melebihi 20,000 akibat COVID-19. (Foto/Agensi)

COVID-19: Lebih 20,000 kematian direkodkan di Brazil

RIO DE JANEIRO: Kementerian Kesihatan Brazil mengesahkan korban di negaranya melepasi angka 20,000 orang selepas mengemaskini jumlah terbaharu dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Negara itu kini menjadi pusat penularan wabak di Amerika Latin dengan mencatatkan kematian tertinggi dalam tempoh sehari iaitu 1,188 korban menjadikan keseluruhan angka korban seramai 20,047 orang.

Brazil kini merekodkan lebih 310,000 kes dan pakar percaya jumlahnya jauh lebih tinggi.

Dengan lingkungan jangkitan dan kematian yang meningkat mendadak, negara yang mempunyai 210 juta populasi itu, menduduki tangga ketiga mencatatkan kes tertinggi dunia selepas Amerika Syarikat (AS) dan Russia.

Menurut data kementeriannya, bagi bilangan kematian, Brazil mencatat tangga keenam tertinggi sekali gus menyaksikan peningkatan sekali ganda dalam tempoh 11 hari.

Meskipun bimbang penularan jangkitan, Presidennya, Jair Bolsonaro semalam tetap meneruskan desakannya mahu perintah berkurung ditarik balik berikutan mahu memulihkan ekonomi.

Hampir semua 27 negeri yang menjalani perintah berkurung juga menyaksikan rakyatnya sudah tidak tahan menjalani kehidupan dalam sekatan sejak Mac lalu.

Sao Paulo, ibu kota ekonomi dan budaya Brazil, adalah negeri paling teruk terjejas, dengan kira-kira satu perempat kematian dan jangkitan di negara ini.- AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X