Isnin, 16 March 2020 | 9:31am
Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran akibat letupan gas di Lagos, semalam. - Foto AFP
Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran akibat letupan gas di Lagos, semalam. - Foto AFP

Letupan gas: Sekurang-kurang 15 maut, 50 bangunan musnah

LAGOS: Sekurang-kurangnya 15 orang maut, selain ramai mangsa cedera dan kira-kira 50 bangunan musnah dalam satu letupan gas yang menggegarkan ibu kota komersial Nigeria, Lagos, pagi semalam.

Menurut pihak perkhidmatan kecemasan, sejumlah rumah, lori, kereta dan motosikal turut terbakar dalam kejadian itu.

Letupan gas di Lagos, semalam, turut menyebabkan kira-kira 50 bangunan musnah. Foto AFP
Letupan gas di Lagos, semalam, turut menyebabkan kira-kira 50 bangunan musnah. Foto AFP

“Sebanyak 15 mayat sudah ditemui, setakat ini. Ramai lagi mangsa yang cedera,” kata jurucakap perkhidmatan kecemasan kebangsaan, Ibrahim Farinloye, kepada AFP.

Selain itu, kira-kira 50 bangunan di daerah perumahan Abule Ado musnah dalam letupan jam 8 pagi berkenaan yang disusuli kebakaran besar.

Menurut Perbadanan Petroleum Kebangsaan Nigeria (NNPC), letupan itu berlaku akibat insiden sebuah trak melanggar tong gas yang tersusun di sebuah loji pemprosesan gas.

“Impak letupan itu begitu kuat sehingga menyebabkan rumah yang terletak berdekatan runtuh, manakala satu saluran paip NNPC pula mengalami kerosakan,” kata syarikat berkenaan.

Pegawai Palang Merah tempatan, Adebola Kolawale, memaklumkan pihaknya sedang berusaha mengumpulkan mayat mangsa kejadian itu.

“Terdapat sebuah sekolah di sini dan ini adalah kawasan perumahan. Malah, satu acara perdagangan juga sedang berlangsung di sini,” katanya.

Anggota penyelamat turut dilihat bekerja keras mengalihkan runtuhan sebuah sekolah berasrama perempuan yang mempunyai lebih 250 pelajar.

Kejadian letupan saluran paip dan trak tangki biasa berlaku di Nigeria yang sebahagian besar rakyatnya hidup miskin walaupun negara ini merupakan pengeluar terbesar minyak serantau dengan kira-kira dua juta tong sehari.

Sesetengah insiden berlaku apabila penduduk cuba menyedut minyak daripada saluran paip atau lori tangki mengalami kemalangan di jalan raya yang gagal diselenggara dengan baik di negara ini. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X