Ahad, 15 March 2020 | 9:06pm
Oppah Muchinguri.
Oppah Muchinguri.

COVID-19: 'hukuman tuhan' pada Barat

HARARE: Pandemik COVID-19 disifatkan sebagai ‘hukuman’ kepada Amerika Syarikat (AS) dan Eropah kerana mengenakan sekatan terhadap anggota rejim pemerintah Zimbabwe atas alasan hak asasi manusia.

Menteri Pertahanan Zimbabwe, Oppah Muchinguri, berkata wabak coronavirus adalah hukuman tuhan terhadap negara yang mengenakan sekatan terhadap negaranya.

“Mereka kini berada di dalam rumah. Ekonomi mereka berkecamuk seperti mana yang mereka lakukan pada ekonomi kita,” katanya ketika berucap pada satu himpunan di Chinhoyi, sebuah bandar di utara.

Coronavirus sudah menjangkiti lebih 150,000 individu di seluruh dunia dan membunuh hampir 6,000 orang sejak ia mula dikesan di China pada Disember tahun lalu.

AS dan Kesatuan Eropah (EU) mula mengenakan sekatan terhadap Zimbabwe ketika negara itu diperintah secara kuku besi oleh bekas Presiden Robert Mugabe, yang digulingkan tentera pada November 2017.

Sekatan itu dikenakan terhadap pegawai berpangkat tinggi dan institusi kerajaan, termasuk sekatan perjalanan kepada Mugabe dan sekutu rapatnya.

Presiden Zimbabwe, Emmerson Mnangagwa, kini sedang berusaha menjalin semula hubungan baik dengan Barat sejak memegang jawatan itu pada 2017.

Bagaimanapun, AS bulan ini melanjutkan sekatan atas alasan dua pegawai keselamatan bertindak ganas terhadap penunjuk perasaan ekoran penangguhan keputusan pilihan raya 2018, yang menyebabkan enam terbunuh.

Muchinguri berkata virus baharu itu akan mengajar Presiden AS, Donald Trump, bahawa ‘dia bukan tuhan’.

“Mereka perlu merasai kesan coronavirus dan memahami keperitan kita,” katanya.

Sebahagian kawasan Sahara di Afrika belum terkesan dengan pandemik itu, dengan kurang 100 kes dikesan di lebih 20 negara. Zimbabwe masih belum merekodkan sebarang kes coronavirus.

Afrika Selatan hari ini memaklumkan mengesan 13 kes baharu wabak itu, menjadikan jumlah keseluruhan kes coronavirus di negara itu sebanyak 51 kes. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X