Jumaat, 6 March 2020 | 9:38pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Klinik bersalin haram diserbu, polis selamat enam wanita hamil

LAGOS: Polis Nigeria berjaya menyelamatkan 13 individu, termasuk kanak-kanak dan enam wanita hamil dari sebuah klinik haram di negeri Ogun, kata jurucakap hari ini.

Kesemua wanita berkenaan, berusia antara 20 dan 25 memberitahu polis, mereka dihamilkan seorang lelaki yang diupah pemilik klinik, bagi membolehkan bayi dikandung itu dijual pada harga lumayan.

Premis diberi jolokan ‘kilang bayi’ itu pada dasarnya ialah sebuah premis haram yang menyamar sebagai klinik swasta, khusus menempatkan wanita hamil dan bayi mereka untuk dijual.

Dalam sesetengah kes, wanita muda ditahan secara paksa dan dirogol sehingga mengandung, sebelum bayi mereka dijual di pasaran gelap.

“Operasi itu dilakukan pada 28 Februari lalu apabila seorang penghuni berjaya melarikan diri dan menyalurkan maklumat kepada pihak polis,” kata jurucakap. Abimbola Oyeyemi.

Oyeyemi berkata, mereka turut menahan pemilik premis dan dua lelaki, dipercayai diupah untuk menghamilkan kesemua wanita terbabit.

“Semua wanita ini memberitahu, pemilik premis mengupah kedua-dua lelaki berkenaan untuk tidur bersama mereka dan seterusnya membuatkan mangsa mengandung.

“Bayi berkenaan akan dirampas daripada ibu masing-masing sejurus dilahirkan dan dijual kepada pelanggan,” katanya.

Oyeyemi memberitahu, kesemua suspek kini berada dalam tahanan dan akan dihadapkan ke mahkamah sebaik siasatan berakhir.

Serbuan ke atas klinik haram seumpama itu sering dilakukan oleh pihak berkuasa Nigeria, khususnya di bahagian selatan.

Bayi lelaki lazimnya dijual pada harga 500,000 naira (RM5,840) manakala harga untuk bayi perempuan mencecah 300,000 naira (RM3,424). - AFP

Berita Harian X