Sabtu, 15 Februari 2020 | 7:26am

30 maut dalam serangan di Mali

BAMAKO : Tiga puluh orang, termasuk sembilan anggota tentera maut dalam siri serangan di tengah Mali, kata pihak berkuasa semalam, dengan sebahagian besar kematian berpunca daripada keganasan antara etnik di kawasan bergolak.

Seramai 29 orang terbunuh dalam serangan semalaman di Ogossagou, sebuah perkampungan yang majoriti penduduk terdiri daripada puak Fulani, iaitu lokasi sama pembunuhan beramai-ramai berlaku pada 23 Mac tahun lalu, membabitkan 160 mangsa, dipercayai angkara militan Dogon.

Ketua kampung, Aly Ousmane Barry berkata, serangan terbabit dilakukan kira-kira 30 lelaki bersenjata.

Jurucakap kerajaan Mali, Yaya Sangare berkata, insiden itu meragut 21 nyawa, manakala beberapa penduduk lagi dilaporkan hilang.

“Pondok dan tanaman dibakar, manakala haiwan ternakan dibunuh atau dilarikan,” katanya sambil memberitahu, kerajaan berjanji akan membawa penyerang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Seorang pegawai kerajaan tempatan yang enggan dikenali berkata, sejumlah 28 penduduk disahkan hilang dalam kejadian terbabit.

Beliau mendakwa serangan itu dilakukan kumpulan pemburu Dogon, satu dakwaan yang tidak boleh disahkan secara rasmi.

Pegawai dan Alu Ousmane mendakwa, kesemua penyerang berkenaan memasuki perkampungan terbabit beberapa jam selepas pasukan kerajaan meninggalkan lokasi.

Lewat Jumaat, lapan anggota tentera Mali terkorban manakala empat lagi cedera dalam serang hendap di Gao.

Pasukan Mali turut mengalami beberapa kemusnahan peralatan, kata tentera di media sosial, tanpa memperincikan identiti sebenar penyerang di kampung Bintia itu. - AFP

Berita Harian X