Isnin, 3 Februari 2020 | 10:13pm
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Pertanian dan Pengguna FAO, Bukar Tijani.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Pertanian dan Pengguna FAO, Bukar Tijani.

Serangan belalang ancam lebih banyak negara timur Afrika - FAO

NAIROBI: Serangan belalang padang pasir dijangka mengancam lebih banyak negara di timur Afrika, sekali gus menjejaskan punca pendapatan ramai penduduknya.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berkata kumpulan belalang yang mula dikesan Disember lalu itu sudah memusnahkan ribuan hektar tanaman di Kenya, Somalia dan Ethiopia.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Pertanian dan Pengguna FAO, Bukar Tijani, berkata ia adalah serangan belalang terburuk dalam tempoh 70 tahun sehingga menjejaskan bekalan makanan, di beberapa negara terutama Sudan Selatan, Uganda dan Eritrea.

FAO berkata sekurang-kurangnya satu kumpulan belalang sudah dilihat di Eritrea dan beberapa lagi dikesan di Oman serta Yaman.

Malah, kata FAO, sebelum berlaku serangan belalang, kira-kira 11 juta penduduk di Ethiopia, Somalia serta Kenya sudah mengalami masalah bekalan makanan dan serangan belalang akan memburukkan lagi keadaan.

Pengarah Bahagian Kecemasan dan Pemulihan FAO, Dominique Burgeon, ketika melawat to daerah Samburu dan Kitui iaitu dua daripada 15 wilayah terjejas di Kenya, berkata semua usaha perlu diambil bagi mengelak musibah lebih buruk.

“Kita tahu belalang ini berupaya melakukan kemusnahan besar-besaran bukan saja dari segi tanaman, malah turut merosakkan tanah pertanian, sekali gus mengancam kehidupan petani dan rumusannya ialah menyembur racun,” katanya.

Bagaimanapun, kata FAO, konflik dan pergolakan di sebahagian besar Somalia menjadikan usaha menyembur racun mustahil dilakukan walaupun ia adalah langkah pencegahan terbaik.

Kementerian Pertanian dan Pengairan Somalia berkata serangan belalang diisytiharkan sebagai darurat kebangsaan. - Reuters

Berita Harian X