Ahad, 2 Februari 2020 | 6:20pm
Pastor Boniface Mwamposa. - Foto nehandaradio
Pastor Boniface Mwamposa. - Foto nehandaradio

Sekurang-kurangnya 20 terbunuh akibat rempuhan di gereja

DAR ES SALAAM: Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dan kira-kira sedozen cedera dalam kejadian rempuhan ketika perkhidmatan gereja di sebuah stadium di utara Tanzania, kata seorang pegawai kerajaan hari ini.

Beratus orang memenuhi stadium pada petang semalam di bandar Moshi berhampiran lereng Gunung Kilimanjaro dan berebut-rebut antara satu sama lain ketika mereka bergegas untuk dilumur dengan “minyak suci”.

"Dua puluh orang mati dan 16 lagi cedera dalam kejadian itu," Pesuruhjaya Daerah Moshi, Kippi Warioba, memberitahu Reuters melalui telefon.

Seramai lima daripada mereka yang terbunuh adalah kanak-kanak, katanya.

"Rempuhan itu berlaku apabila orang ramai berebut-rebut untuk diri mereka dilumur minyak yang diberkati," kata Warioba.

Pastor Boniface Mwamposa telah menarik kehadiran ramai orang dengan menjanjikan kesejahteraan dan menyembuhkan penyakit kepada penyembah yang berjalan di atas apa yang digambarkannya sebagai "minyak suci" ketika khidmat gerejanya.

Pihak berkuasa bimbang angka kematian mungkin meningkat disebabkan oleh jumlah orang ramai dan keadaan gelap ketika kejadian rempuhan itu berlaku.

"Kejadian berlaku pada waktu malam dan terdapat ramai orang, maka ada kemungkinan jumlah mangsa akan meningkat. Kami masih menilai keadaan," kata Warioba.

Tanzania telah menyaksikan peningkatan jumlah pastor "doktrin kemakmuran" sejak kebelakangan ini, yang berjanji untuk membawa orang ramai keluar dari kemiskinan dan melakukan apa yang mereka sebut sebagai penawar ajaib. - REUTERS

Berita Harian X