Jumaat, 22 November 2019 | 11:53am

Pembunuh bersiri Nigeria mengaku tidak bersalah

PORT HARCOURT (NIGERIA) : Seorang lelaki disyaki pembunuh bersiri menukar pengakuan kepada tidak bersalah di mahkamah semalam, selepas sebelum ini mengaku mencekik sembilan wanita hingga mati.

Gracious David West, 26, ditahan pada September dengan tuduhan memperdaya mangsa ke hotel di Port Harcourt sebelum memberi dadah dan membunuh mereka.

Semua pembunuhan itu menimbulkan kemarahan dan mendorong golongan wanita Nigeria mengadakan tunjuk perasaan di jalanan, untuk mendesak perlindungan lebih baik daripada pihak polis.

Susulan bantahan, polis menyiarkan video pengakuan West di Twitter, sebaik lelaki terbabit berjaya ditahan.

Suspek bagaimanapun menukar pengakuan kepada tidak bersalah.

“Defendan sebelum itu mengaku bersalah atas 9 tuduhan membunuh tetapi memutuskan untuk menukar pengakuan hari ini,” kata pendakwa, Chidi Ekeh.

Peguam tertuduh, Vincent Chukwu menolak pengakuan awal anak guamnya dengan menyifatkan ia sebagai ‘tidak memberi kesan perundangan’.

“Asas pertuduhan ini adalah bukti. Biarkan pendakwa memberi bukti mereka di mahkamah,” katanya.

Defendan kedua yang dituduh terbabit dalam pembunuhan itu, Nimi Thankgod turut mengaku tidak bersalah dan dibenarkan untuk diikat jamin.

Kedua-dua suspek ditahan selepas penemuan mayat sembilan mangsa serta menggambarkan West sebagai pembunuh bersiri dan pengamal ajaran sesat.

Kesemua mangsa ditemui dalam keadaan bertutup dengan kain putih di keliling leher dan pinggang.

Port Harcourt dan kawasan sekitar mempunyai kadar jenayah paling tinggi di Nigeria, iaitu negara paling padat penduduk di benua Afrika. - AFP

Berita Harian X