Khamis, 7 November 2019 | 7:20am
37 maut apabila pekerja lombong diserang hendap di Burkina Faso. Foto hiasan

37 pekerja lombong maut diserang di Burkina Faso

OUGADOUGOU: Seramai 37 orang maut, manakala 60 lagi cedera, apabila konvoi penghantaran pekerja tempatan, diserang ketika dalam perjalanan ke sebuah lombong milik syarikat Kanada, Semafo di Burkina Faso, semalam.

Ia adalah serangan ketiga yang dilancarkan ke atas Semafo dalam tempoh 15 bulan di negara Afrika Barat itu, yang sedang berdepan dengan pemberontakan yang sudah meragut ratusan nyawa.

Gabenor Wilayah Est, Saidou Sanou, dalam satu kenyataan berkata kejadian serang hendap itu, dilakukan oleh beberapa individu bersenjata yang tidak dikenali, pagi semalam.

Semafo Inc dalam satu kenyataan berkata, lima bas yang dikawal pihak tentera, berada kira-kira 40 kilometer dari lombong emas Boungou ketika ia diserang, mengakibatkan kematian dan kecederaan.

“Kami sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan kesemua pekerja, kontraktor dan pembekal,” kata Semafo yang turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Pada masa sama, katanya, keselamatan di lombong terbabit adalah terjamin dan kejadian itu tidak menjejaskan operasinya.

Semafo yang mengendalikan dua lombong di Burkina Faso, pernah diserang sebanyak dua kali tahun lalu.

Dalam serangan pada Ogos 2018, ia menyasar kenderaan yang dalam perjalanan ke lombong terbabit.

Ketika serangan pada Disember lalu pula, sebuah kenderaan milik polis diserang hendap di laluan yang sama, iaitu antara Fada dan lombong emas Bongou.

Syarikat itu mendakwa penyamun bersenjata bertanggungjawab dalam serangan terbabit dan susulan itu meningkatkan kehadiran pengiring bersenjata. - AFP

Berita Harian X