Isnin, 4 November 2019 | 10:40pm

4 kru kapal tangki diculik di Togo

LOME: Sekumpulan lanun menculik empat kru sebuah kapal tangki minyak Greece sebagai tebusan di luar pantai Togo, hari ini.

Menurut kenyataan tentera laut Togo, kru yang diculik itu membabitkan dua rakyat Filipina, seorang rakyat Greece dan seorang rakyat Georgia.

Katanya, seorang pengawal keselamatan cedera ditembak dalam serangan itu.

“Pada Isnin 4 November 2019 kira-kira jam 3 pagi, kapal tangki Elka Aristotle diserang kumpulan bersenjata sejauh 18 kilometer dari pelabuhan Lome,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, pengurus kapal terbabit, European Product Carriers Ltd mengesahkan serangan berlaku pada awal pagi tanpa memberikan maklumat lanjut.

Kementerian Pengangkutan Greece berkata, pihaknya sedang memantau rapat isu penculikan terbabit.

Menurut Biro Maritim Antarabangsa, walaupun serangan lanun berkurangan seluruh dunia, Teluk Guinea di Afrika Barat masih berisiko tinggi berlakunya kes penculikan dan rompakan bersenjata. -Reuters

Berita Harian X