Sabtu, 12 Oktober 2019 | 5:46pm
Pendatang dari Afrika dan Haiti menaiki bot untuk menyeberangi sungai di sempadan antara Guatemala dan Mexico. - Foto hiasan

Dua pendatang Afrika maut bot karam

MEXICO CITY: Sekurang-kurangnya dua maut dan seorang hilang apabila bot yang dinaiki pendatang Afrika karam di luar pantai selatan Mexico, kata pihak berkuasa.

Pejabat pendakwa negeri dalam satu kenyataan berkata, bot terbabit dalam perjalanan dari selatan negeri sempadan Chiapas, tiba-tiba senget sebelum terbalik, menghumban semua penumpang ke laut.

Seorang lelaki berusia 39 tahun dijumpai meninggal dunia, terdampar di pantai, manakala mayat kedua dijumpai beberapa ratus meter daripada mayat itu.

Kenyataan pejabat pendakwa berkata, operasi mencari berjaya menyelamatkan lapan pendatang yang terselamat dan seorang lagi masih gagal dikesan.

Semua pendatang itu dari Cameroon, sebuah negara yang menyaksikan peningkatan jumlah pelarian ketika konflik menjadi semakin ganas antara komuniti berbahasa Perancis dan Inggeris.

Chiapas adalah laluan utama untuk pendatang merentas Mexico menuju ke Amerika Syarikat. Kebanyakan mereka berasal dari Amerika Tengah, tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan terdapat peningkatan jumlah pelarian Afrika, mereka menaiki pesawat ke Afrika Selatan dan menggunakan laluan darat serta laut.

Pendatang Afrika di Chiapas kerap mengadakan bantahan, menuntut pihak berkuasa Mexico membenarkan mereka meneruskan perjalanan menuju Amerika Syarikat. - AFP

Berita Harian X