Jumaat, 11 Oktober 2019 | 10:05pm
Pasukan bomba Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Kenya (KAA) berada di lokasi pesawat milik Silverstone Air yang tergelincir di Lapangan Terbang Wilson, Nairobi. Foto AFP

9 cedera pesawat Fokker 50 tergelincir di Kenya

NAIROBI: Sebuah pesawat membawa 55 penumpang dari Nairobi menuju ke destinasi pelancongan, pulau Lamu dilaporkan tergelincir dari landasan ketika berlepas, lalu terbabas dan melanggar beberapa pokok, mengakibatkan sembilan cedera.

Pesawat yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan tempatan, Silverstone Air dilaporkan bakal singgah di bandar pelabuhan, Mombasa sebelum meneruskan perjalanan ke Lamu.

Lamu adalah tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), yang terletak di luar perairan utara Kenya.

“Pagi ini, kira-kira jam 9 pagi, sebuah pesawat Fokker 50 tergelincir dari landasan ketika berlepas dari lapangan terbang Wilson, Nairobi.

“Pesawat itu membawa 50 penumpang dan lima anak kapal,” kata Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Kenya (KAA) dalam satu kenyataan.

Jurugambar AFP yang berada di lokasi insiden di lapangan terbang Wilson turut menyaksikan perkhidmatan kecemasan berkawal di sekeliling pesawat, selepas ia terbabas beberapa meter ke dalam semak.

Silverstone Air, yang mengkhusus dalam penerbangan domestik dalam satu kenyataan mengesahkan pesawat Fokker 50 terbabit dalam kemalangan di lapangan terbang Wilson.

Jurucakap syarikat itu, Sheila Muturi dalam satu sidang media berkata, sembilan penumpang cedera dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan berkenaan.

“Kami ingin mengesahkan bahawa sembilan penumpang cedera dan kesemua mereka sudah menerima rawatan perubatan,” katanya.

Sementara itu, lapangan terbang Wilson yang terletak di selatan Nairobi, mengendalikan penerbangan domestik kebanyakannya ke taman negara.

Ia terletak kira-kira 15 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Jomo Kenyatta, iaitu lapangan terbang terbesar di Kenya. - AFP

Berita Harian X