Jumaat, 11 Oktober 2019 | 9:07pm
Presiden Congo, Felix Tshisekedi.

Lapan dikhuatiri maut dalam nahas pesawat di Congo

KINSHASA: Kesemua penumpang dan anak kapal dikhuatiri terbunuh, selepas sebuah kapal kargo yang dinaiki kakitangan presiden dilaporkan terhempas di timur Congo, semalam.

Pihak berkuasa penerbangan awam dalam satu kenyataan berkata, pesawat itu membawa pemandu Presiden Felix Tshisekedi dan pengurus logistiknya serta beberapa anggota tentera.

Menurut kenyataan itu, pesawat berkenaan dalam perjalanan dari Goma ke Kinshasa, sebelum dilaporkan hilang dari radar pada tengah hari semalam, iaitu sejam selepas berlepas.

“Serpihan pesawat sudah ditemui tetapi kesemua penumpang masih hilang,” kata penasihat presiden, Vidiye Tshimanga.

Terdahulu, Tshimanga memberitahu Reuters bahawa lapan mayat sudah ditemui, tetapi kemudian memaklumkan bahawa maklumat itu tidak tepat.

Selain itu, punca kejadian juga masih belum diketahui.

Dalam pada itu, media tempatan melaporkan ratusan penyokong Tshisekedi memenuhi beberapa jalan raya di Kinshasa, sebaik sahaja berita itu tersebar pada awal pagi semalam.

Ia berikutan kebimbangan bahawa nahas itu adalah satu cubaan rampasan kuasa terhadap Tshisekedi.

Namun, tiada maklumat diperoleh bagi menyokong dakwaan berkenaan. - Reuters

Berita Harian X