Isnin, 30 September 2019 | 9:21pm
Polis Nigeria berjaya menahan dua suspek yang terbabit dalam pemerdagangan wanita hamil. -Foto Agensi

Polis Nigeria selamatkan 19 wanita daripada 'kilang bayi'

LAGOS: Polis Nigeria berjaya menyelamatkan 19 wanita hamil dari beberapa lokasi di ibu kota ini hari ini yang dipaksa melahirkan anak untuk dijual.

“Kami menerima laporan berdasarkan maklumat perisikan mengenai aktiviti individu yang menahan wanita hamil dan bayi untuk dijual selepas mereka melahirkan.

“Selepas siasatan, kami berjaya menyelamatkan 19 wanita hamil dan empat bayi,” kata jurucakap polis Lagos, Bala Elkana menambah mereka yang dibebaskan berusia antara 15 dan 28 tahun.

Katanya, sesetengah wanita terbabit diperdaya kerana dimaklumkan dibawa ke ibu kota ini untuk mencari pekerjaan namun mendapati diri mereka terperangkap.

Serbuan dilakukan pada 19 September menyasar tiga rumah dan sebuah hotel di pinggir bandar terbesar Nigeria.

“Kami berjaya menahan dua suspek manakala seorang masih diburu,” kata Elkana menambah bayi perempuan dijual dengan harga 300,000 naira (RM3,473.05) sementara bayi lelaki 500,000 naira (RM5,772.17). -AFP

Berita Harian X