Ahad, 29 September 2019 | 1:03pm
Pengebumian mendiang menandakan berakhirnya era seorang daripada ‘Lelaki Utama’ Afrika. - Foto EPA
Mugabe selamat dikebumikan di Kutama, iaitu kampung halaman mendiang. - Foto EPA

Robert Mugabe selamat dikebumi di kampung halaman

KUTAMA : Mayat ketua pengasas Zimbabwe, Robert Mugabe selamat dikebumikan di Kutama, iaitu kampung halaman mendiang, sekali gus mengakhiri pertelingkahan antara keluarga dan kerajaan yang diwakili penggantinya, Presiden Emmerson Mnangagwa.

Mubage memerintah Zimbabwe selama 37 tahun sejak kemerdekaan negara itu pada 1980, namun tampil sebagai individu dengan dua latar belakang, disayangi kerana perjuangan meraih kemerdekaan negara dan dibenci selepas merosakkan Zimbabwe menerusi dasar ekonomi serta tindakan keras terhadap pihak lawan.

Mendiang menghembuskan nafas terakhir di hospital di Singapura pada 6 September ketika berusia 95 tahun, sambil memendam rasa marah terhadap bekas sekutu, termasuk Mnangagwa yang berkonspirasi menjatuhkannya pada November 2017.

Menurut seorang ahli keluarga, Mugabe memberi amaran kepada mereka untuk tidak membenarkan Mnangagwa dan sekutu lain berada atau menghadiri majlis pengebumiannya.

Pengebumian mendiang menandakan berakhirnya era seorang daripada ‘Lelaki Utama’ Afrika.

Selepas upacara berdoa mengikut ajaran Roman Katholik dan ucapan oleh anggota keluarga, Mugabe dikebumikan di perkarangan rumah kampung, tanpa sebarang istiadat khas yang lazim diberikan untuk wira negara.

Balu mendiang, Grace, anak-anak, saudara terdekat, pegawai kerajaan dan media turut menyaksikan upacara itu.

Ketika keranda berisi mayat Mugabe diturunkan perlahan-lahan, Grace yang melindungi wajahnya menggunakan layah hitam ditenangkan oleh adik dan anak-anak, serta dilihat menangis teresak-esak sambil mengesat air mata menggunakan sapu tangan berwarna putih.

Dalam ucapan, keluarga Mugabe memberitahu, pemimpin itu mewasiatkan supaya beliau dikebumikan di kampung halamannya di Kutama, dan bukan Monumen Wira Negara seperti dikehendaki Mnangagwa dan parti pemerintah ZANU-PF. - Reuters

Berita Harian X