Isnin, 23 September 2019 | 3:57pm
Sebuah bangunan yang terbakar apabila penunjuk perasaan merusuh di Papua hari ini. Foto AFP

Polis, tentera berjaya kawal rusuhan di Papua

WAMENA: Pasukan keselamatan berkata, pihaknya berjaya mengawal rusuhan yang dilaporkan berlaku di Papua, apabila penunjuk perasaan membakar sebuah bangunan kerajaan dan bangunan lain, di sini, hari ini.

“Pihak tentera dan polis berjaya mengawal insiden di Wamena.

“Pasukan keselamatan juga sudah mengambil langkah sewajarnya untuk menghalang rusuhan itu daripada merebak,” kata jurucakap polis kebangsaan, Dedi Prasetyo.

Menurut wartawan AFP, rumah dan kedai turut terbakar ketika orang ramai mula memenuhi jalan raya.

Wartawan AFP berkata, demonstrasi turut berlaku di Jayapura, hingga memaksa pasukan keselamatan melepaskan tembakan amaran ke arah penunjuk perasaan yang melontar batu di sebuah universiti.

Akhbar Kompas.com melaporkan, tunjuk perasaan di Wamena, hari ini, kebanyakannya disertai pelajar universiti, yang bertindak demikian selepas mendengar kenyataan berbaur perkauman yang disampaikan pensyarah.

Bagaimanapun, polis berkata, situasi di Wamena masih terkawal, tetapi wartawan AFP melaporkan perkhidmatan internet di kawasan itu, sudah disekat. - AFP

Berita Harian X