Jumaat, 20 September 2019 | 9:28am

Pembunuh bersiri wanita pekerja seks Nigeria berjaya ditahan

LAGOS: Polis Nigeria yang menyiasat pembunuhan sekurang-kurangnya lapan wanita selepas diumpan ke hotel di sekitar bandar Port Harcourt, berjaya menahan seorang lelaki memiliki gambaran pembunuh bersiri, semalam.

Lima kematian pada bulan lalu mencetuskan kemarahan di Nigeria, dengan bantahan di seluruh negara oleh aktivis wanita yang bimbang dengan peningkatan pembunuhan di kalangan individu disyaki sebagai pekerja seks.

Polis sudah menahan seorang suspek namun menerusi satu kenyataan di Twitter, mereka mengumumkan penahanan seorang lagi lelaki pagi semalam.

“Pembunuh bersiri kejam, Gracious David West sudah ditahan hari ini oleh polis di Rivers,” kata kenyataan itu yang turut menyiarkan video pengakuan suspek.

Menurut polis, suspek juga adalah ahli sebuah kumpulan ajaran sesat.

“Dia telah memberikan pelbagai maklumat berguna untuk polis,” kata pihak berkuasa, sambil memberitahu bahawa sidang akhbar akan diadakan di Port Harcourt hari ini.

Dalam satu kenyataan Selasa lalu, polis berkata pembunuhan berkenaan dilihat memiliki beberapa elemen ritual.

“Selepas dibunuh, penyerang melilit kain putih di pinggang atau leher mangsa. Ada elemen ritual ajaran sesat dalam semua pembunuhan ini.

“Pembunuh biasanya menggunakan dadah untuk menjadikan mangsa tidak sedarkan diri sebelum mencekik mereka sehingga mati,” kata Komisioner Polis Rivers, Mustapha Dandaura.

Sejak beberapa hari lalu, aktivis wanita menjadikan jalan sekitar Port Harcourt sebagai medan menyuarakan bantahan dan menuntut perlindungan lebih baik daripada pihak polis. - AFP

Berita Harian X