Khamis, 19 September 2019 | 7:48am
Keadaan madrasah yang terbakar di Paynesville, luar Monrovia, Liberia, semalam. -Foto EPA

Hampir 30 maut, madrasah terbakar di Liberia

MONROVIA: Sekurang-kurangnya 26 murid lelaki dan dua guru terbunuh semalam dalam satu kebakaran madrasah berhampiran ibu kota Liberia di sini, kata pejabat presiden.

Murid berkenaan sedang tidur dalam bilik asrama apabila kebakaran bermula waktu malam, kata jurucakap polis Moses Carter menambah litar pintas mungkin menjadi punca insiden itu.

Presiden George Weah melawat sekolah berkenaan di Paynesville, di pinggir ibu kota ini dan berkata, punca kebakaran tidak diketahui.

Menurut jurucakap presiden, murid yang maut berusia antara 10 dan 20 tahun. Jurucakap polis pula berkata, 27 murid terbunuh dalam kejadian itu.

“Kami berada di sini untuk memberi sokongan kepada keluarga mangsa supaya tabah kerana agak menyakitkan kehilangan anak anda dengan cara ini.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga. Punca kebakaran belum diketahui namun kami akan menggesa penyiasat mencari puncanya,” kata Weah kepada media di tempat kejadian.

“Pasukan kami sedang menyiasat punca kebakaran. Ia mungkin elektrik,” kata jurucakap polis namun enggan menolak kemungkinan kebakaran adalah perbuatan khianat.

Majoriti rakyat Liberia beragama Kristian namun ada sejumlah minoriti Islam di kalangan 4.5 juta penduduk. -AFP


Mufti Agung Liberia, Sheikh Abubakar Sumaworo mengetuai solat jenazah murid dan guru yang terkorban dalam kebakaran madrasah di Monrovia semalam. -Foto AFP

Berita Harian X