Khamis, 12 September 2019 | 10:00pm

50 maut kereta api tergelincir di Congo

LUBUMBASHI: Sekurang-kurangnya 50 penumpang haram maut apabila kereta api barang tergelincir di tenggara Republik Demokratik Congo awal hari ini, tragedi terbaharu membabitkan pengangkutan itu di negara berkenaan.

“Satu lagi bencana! Tergelincir pada jam 3.00 pagi waktu tempatan di wilayah Tanganyika berhampiran Mayibaridi.

“Angka awal: 50 maut dan beberapa lagi cedera,” kata Menteri Tindakan Kemanusiaan, Steve Mbikayi, menerusi Twitter.

Saksi di tempat kejadian dan media tempatan bimbang angka kematian melebihi 100.

Ketua kesatuan sekerja syarikat kereta api SNCC, Victor Umba, berkata kereta api barang itu dalam perjalanan dari bandar

Nyunzu ke Niemba apabila dua gerabak terbalik.

“Mereka yang terbunuh dalam kejadian ini adalah penumpang haram.

“Mustahil bagi SNCC memberikan sebarang angka kematian,” katanya.

Beliau menambah, ketua SNCC berada di ibu kota wilayah itu, Kalamie, untuk cuba mencari jalan menaikkan gerabak.

“Nampaknya ramai penumpang haram terperangkap di bawah gerabak yang tergelincir,” katanya. —AFP

Berita Harian X