Khamis, 12 September 2019 | 8:55am
Keranda membawa mayat Robert Mugabe tiba di kediamannya di Borrowdale, Harare, Zimbabwe. Foto Reuters

Mendiang Robert Mugabe bakal dikebumi Ahad

HARARE: Mayat bekas Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe dilaporkan sudah tiba di sini, semalam, namun sehingga kini lokasi pengebumian mendiang masih belum diketahui, berikutan pertikaian antara kerajaan dan beberapa anggota keluarganya.

Mugabe, 95, memerintah Zimbabwe selama 37 tahun sehinggalah digulingkan oleh tentera pada November 2017 dan beliau meninggal dunia di Singapura, minggu lalu.

Pesawat membawa mayat Mugabe tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Robert Gabriel Mugabe di sini, semalam dan disambut anggota tentera dengan penuh kehormatan.

“Seluruh Zimbabwe, rakyat di semua peringkat bersedih dan berkabung kerana cahaya yang membawa kita kepada kemerdekaan sudah tiada lagi, tetapi hasil kerjanya, ideologinya akan terus membimbing negara ini.

“Pada Ahad ini, kita akan mengebumikannya, jadi saya merayu anda semua untuk menunjukkan rasa sayang terhadap pemimpin yang sudah meninggalkan kita,” kata

President Emmerson Mnangagwa tanpa mendedahkan lokasi pengebumian Mugabe.

Isteri Mugabe, Grace yang berpakaian hitam dan vel dilihat berdiri bersebelahan Mnangagwa ketika di lapangan terbang.

Grace kelihatan menangis ketika berada di dalam kereta, yang terletak di belakang kenderaan membawa mayat mendiang, sambil ditenangkan oleh ahli keluarganya.

Yang turut hadir, anak perempuan Mugabe, Bona dan anak lelakinya, Bellarmine serta bekas menteri Kabinet, Savior Kasukuwere, yang kini hidup dalam buangan di Afrika Selatan sejak awal tahun ini.

Sementara itu, jurucakap keluarga, Leo Mugabe enggan mengulas mengenai lokasi Mugabe akan dikebumikan.

Mnangagwa dan anggota parti ZANU-PF mahu Mugabe disemadikan di tugu peringatan, tetapi ahli keluarganya menolak rancangan itu, kerana kesal dengan tindakan bekas sekutunya menggulingkan mendiang.

Mereka mahu Mugabe dikebumikan di kampung halamannya.

Majlis pengebumian akan diadakan pada Ahad ini dan lokasinya hanya diketahui selepas mendapat persetujuan keluarga Mugabe. - Reuters

Berita Harian X