Rabu, 11 September 2019 | 8:34am
Nigeria dan Amerika Syarikat berjaya menahan hampir 300 orang yang terbabit dalam jenayah siber. Foto hiasan

AS, Nigeria berjaya tumpas jenayah siber

LAGOS: Pihak berkuasa Amerika Syarikat dan Nigeria mendakwa berjaya menahan hampir 300 orang, dalam operasi selama beberapa bulan bagi mematahkan penipuan dalam talian, bertujuan merampas pemindahan wang dari syarikat dan individu.

Operasi ‘reWired’ itu berjaya mematahkan rancangan beberapa kumpulan, membabitkan penjenayah antarabangsa, yang menjalankan skim dikenali sebagai business email compromise (BEC), bertujuan mencuri wang yang digunakan dalam pembayaran.

Menurut Jabatan Keadilan Amerika Syarikat, skim itu berasal dari Nigeria sudah mengakibatkan kerugian kira-kira AS$1.3 bilion (RM5.4 bilion) di seluruh dunia, iaitu satu kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

“Operasi yang dijalankan antara Mei hingga September dengan kerjasama Suruhanjaya Jenayah Kewangan dan Ekonomi Nigeria (EFCC), memberi tumpuan kepada usaha untuk membongkar aktiviti jenayah siber itu,” kata atase perundangan Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Ahamdi Uche dalam sidang media bersama di Lagos.

Katanya, seramai 167 individu berjaya ditahan di Nigeria, Amerika Syarikat (74) yang sebahagian besarnya membabitkan warga Nigeria, Turki (18) dan Ghana (15).

“Tangkapan turut dibuat di Perancis, Itali, Jepun, Malaysia, Britain dan Kenya, menjadikan keseluruhan yang ditahan kepada 281 orang, manakala wang tunai berjumlah AS$3.7 juta (RM15.4 juta) disita dalam operasi ‘reWired’,” kata Jabatan Keadilan. - AFP

339 dibaca
Berita Harian X