Rabu, 28 Ogos 2019 | 8:07am
Gambar udara menunjukkan sekatan jalan dibina oleh penunjuk perasaan terhadap keadaan buruk jalan raya antara ibu kota Bamako dan bandar barat Kayes. - Foto AFP

Penunjuk perasaan sekat trak tuntut jalan raya diperbaiki

KATI: Lebih 1,000 trak dipenuhi barangan disekat hari ini di pintu masuk ke ibu kota Mali, Bamako, pada hari keempat bantahan terhadap keadaan buruk jalan raya di negara itu.

Wartawan AFP menyaksikan barisan bengkang-bengkok trak puluhan kilometer di sepanjang jalan bermula dari tol Kati yang terletak kira-kira 15 kilometer di luar Bamako dan melepasi ke Senegal dan Mauritania.

Bantahan bermula 23 Ogos lalu di bandar raya Kayes apabila ratusan penduduk menyekat jambatan utama di Sungai Senegal.

Sejak itu, ia merebak ke wilayah lain, dengan penunjuk perasaan menggesa jalan raya dan landasan kereta api diperbaiki segera.

“Saya berada di sini selama empat hari, kami tidak boleh memasuki Bamako,” kata seorang pemandu trak di Kati, menyifatkan perjuangan penunjuk perasaan sebagai milik semua orang.

Moussa Coulibaly, dari Dakar bimbang buah-buahan yang ada traknya sudah tidak boleh dimakan tidak lama lagi.

Bas turut tersadai. Seorang wanita yang terkandas, dikenali sebagai Amy berkata beliau tiada pilihan kecuali berjalan 15 kilometer dengan tiga bagasi dengan harapan dapat tiba di Bamako tepat pada masa kerana perlu menaiki penerbangan ke Perancis.

Berita Harian X