Ahad, 23 Jun 2019 | 9:04pm
Saere Mekonnen (kiri) maut diserang di kediamannya. - Foto fail AFP
Saere Mekonnen (kiri) maut diserang di kediamannya. - Foto fail AFP

Ketua tentera, presiden serantau maut cubaan rampasan kuasa

ADDIS ABABA: Ketua tentera Habsyah maut selepas ditembak pengawal peribadinya sendiri beberapa jam selepas cubaan rampasan kuasa di negeri Amhara yang turut mengorbankan presiden serantau dan penasihat kanan, kata jurucakap Perdana Menteri, Abiy Ahmed hari ini.

Jurucakap berkenaan, Billene Seyoum memberitahu media, skuad penembak diketuai ketua keselamatan Amhara, Asaminew Tsige menyerbu sidang mesyuarat tengah hari semalam dan menembak presiden serantau, Ambachev Mekonnen dan seorang lagi pegawai kanan.

“Kedua-dua lelaki berkenaan mengalami kecederaan dan meninggal dunia tidak lama selepas itu.

“Beberapa jam selepas serangan yang kelihatan seperti dirancang itu, ketua pasukan keselamatan nasional, Saere Mekonnen maut diserang pengawal peribadi di kediamannya sendiri,” katanya.

Turut ditembak mati ialah jeneral bersara yang pada ketika itu sedang melawat beliau, tambah Billene.

Sumber memberitahu, pengawal peribadi berkenaan berjaya ditahan manakala Asaminew berjaya melarikan diri dan masih bebas.

Penganalisis berkata, insiden berkenaan menunjukkan bahawa krisis politik Habsyah semakin serius, serentak dengan usaha Abiy menghapuskan cengkaman kuku besi pemerintah terdahulu dan meneruskan pembaharuan yang membawa kepada siri ketegangan di negara itu.

“Insiden penuh tragik ini membuktikan betapa dalam krisis politik yang melanda Habsyah ketika ini.

“Ia kini begitu kritikal dan semua pihak perlu bekerjasama untuk tidak mengeruhkan lagi situasi atau mengeksploitasi keadaan demi kepentingan politik masing-masing,” kata William Davison dari Kumpulan Krisis Antarabangsa. - AFP

Berita Harian X