X
Khamis, 13 Jun 2019 | 10:59pm
GABENOR wilayah tengah Mopti, Sidy Alassane Toure.
GABENOR wilayah tengah Mopti, Sidy Alassane Toure.

Mali pecat gabenor Mopti gagal bendung pembunuhan beramai-ramai

BAMAKO: Majlis Menteri-Menteri Mali memecat seorang gabenor di wilayah tengah Mopti, selepas kumpulan lelaki bersenjata membunuh puluhan penduduk etnik di sana, katanya dalam satu kenyataan.

Menurut kerajaan, penyerang dipercayai berasal daripada kumpulan etnik Fulani yang menyerbu perkampungan etnik Dogon di Bankass pada Ahad dan Isnin lalu dengan membunuh 35 orang.

Susulan insiden itu, kerajaan mengisytiharkan tempoh tiga hari berkabung di seluruh negara menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

“Mengambil pengajaran dari tragedi ini, majlis menteri memecat gabenor wilayah Mopti,” menurut kenyataan yang dibaca.

Difahamkan, Gabenor Sidy Alassane Toure adalah pegawai kerajaan terbaru yang digugurkan susulan kegagalan pihak berkuasa mengekang keganasan etnik di seluruh wilayah Mopti.

Selepas serangan pada Mac lalu yang mengorbankan lebih 150 etnik Fulani dalam keganasan terburuk di Mali, Presiden Boubacar Keita bertindak memecat dua pegawai kanan tentera dan perdana menteri serta seluruh kerajaan meletak jawatan.

Perdana menteri baharu, Boubou Cisse yang melawat lokasi kejadian kelmarin dan berkata, 24 mangsa yang dibunuh adalah kanak-kanak dan beberapa daripada mereka ditembak dari arah belakang. -Reuters.

Berita Harian X