Khamis, 13 Jun 2019 | 5:59pm
Donald Booth sebelum ini pernah berkhidmat sebagai wakil khas ke Sudan dan Sudan Selatan. -Foto AFP
Donald Booth sebelum ini pernah berkhidmat sebagai wakil khas ke Sudan dan Sudan Selatan. -Foto AFP

AS lantik wakil khas ke Sudan cari penyelesaian 'damai'

KHARTOUM: Amerika Syarikat (AS) semalam menamakan wakil khasnya ke Sudan bagi mencari penyelesaian ‘damai’ antara penunjuk perasaan dan jeneral tentera ketika pemimpin bantahan menuntut ‘jaminan antarabangsa’ sebelum sebarang perjanjian dilaksanakan.

Usaha diplomatik bagi menyelesaikan krisis itu, dicetuskan oleh tindakan keras pada 3 Jun lalu ke atas penunjuk perasaan, mendapat sokongan ketika Washington menamakan pakar Afrika berpengalaman, Donald Booth sebagai wakil khasnya ke Sudan seterusnya membantu merangka ‘penyelesaian damai politik’ antara jeneral tentera dan penunjuk perasaan.

Booth, yang sebelum ini berkhidmat sebagai wakil khas ke Sudan dan Sudan Selatan, sudah berada di ibu kota ini bersama Penolong Setiausaha Negara untuk Hal Ehwal Afrika, Tibor Nagy untuk ‘berhubung dengan pihak berkenaan’, kata jurucakap Jabatan Negara, Morgan Ortagus.

Sementara itu, kedai dan restoran mula dibuka di ibu kota Sudan di sini, semalam selepas penunjuk perasaan membatalkan kempen awam keingkaran dan bersetuju mengadakan rundingan baharu dengan jeneral tentera, walaupun ramai penduduk tidak keluar rumah selepas tindakan keras minggu lalu yang menyebabkan puluhan penunjuk perasaan maut.

Kejayaan menyatukan pemerintah tentera yang menggulingkan pemimpin veteran Omar al-Bashir dan penunjuk perasaan yang menuntut pemerintahan awam susulan pengantaraan diketuai Perdana Menteri Habsyah, Abiy Ahmed.

Ia dibuat selepas seorang wakil Habsyah dihantar Abiy mengumumkan Selasa lalu, pemimpin bantahan dan majlis pemerintah tentera bersetuju meneruskan rundingan dan kempen keingkaran awam tiga hari ditamatkan.

Dua diplomat AS itu dijangka mengadakan beberapa pertemuan dengan pemimpin tentera termasuk Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, ketua majlis pemerintah tentera dan pemimpin bantahan sepanjang keberadaan di sini.

Mereka kemudian dijadualkan mengunjungi Addis Ababa bagi membincangkan krisis Sudan bersama pemimpin Habsyah dan Kesatuan Afrika. -AFP

Berita Harian X