Khamis, 13 Jun 2019 | 9:57am
Orang ramai menunggu di stesen bas di Khartoum. - Foto AFP
Orang ramai menunggu di stesen bas di Khartoum. - Foto AFP

Kedai, restoran kembali beroperasi di Khartoum

KHARTOUM: Kedai dan restoran mula dibuka di ibu negara Sudan semalam selepas penunjuk perasaan seluruh negara bersetuju mengadakan rundingan baru walaupun masih ramai penduduk memilih untuk berlindung di dalam rumah susulan operasi berdarah minggu lalu.

Rundingan berkenaan diketuai Perdana Menteri Habsyah, Abiy Ahmed bagi mencari kata sepakat antara pemerintah tentera yang menggulingkan pemimpin veteran Omar Al Bashir dan penunjuk perasaan menuntut pentadbiran diterajui golongan awam.

Usaha diplomatik bagi menyelesaikan krisis itu yang dicetuskan oleh operasi berdarah pada 3 Jun lalu dan meragut puluhan nyawa mendapat suntikan apabila Washington mencalonkan Donald Booth sebagai wakil khas ke Sudan untuk membantu merangka penyelesaian politik secara damai antara tentera dan penunjuk perasaan.

Tindakan ini diambil selepas wakil Habsyah dihantar oleh Abiy mengumumkan Selasa lalu bahawa ketua penunjuk perasaan dan majlis pemerintah tentera setuju untuk kembali berunding dan kempen penentangan awam selama tiga hari akan berakhir.

Rundingan gagal dilaksanakan bulan lalu selepas kedua-dua belah pihak tidak mencapai persetujuan berhubung pemerintah baru negara itu, sama ada dari kalangan orang awam atau tentera.

Pada pagi semalam, wartawan yang melakukan tinjauan mendapati orang ramai sudah mula memenuhi perhentian bas manakala kedai di beberapa daerah turut kembali beroperasi.

Menjelang tengah hari, beberapa restoran kembali dibuka dan peniaga jalanan mula memasarkan barangan jualan masing-masing.

Namun begitu, pasar emas utama di tengah Khartoum masih ditutup dan sebilangan besar orang ramai masih berkurung di dalam rumah. - AFP

Berita Harian X