Khamis, 25 April 2019 | 12:00pm
Seorang penunjuk perasaan Sudan memakai topeng Guy Fawkes mengibarkan bendera negara di luar ibu pejabat Kementerian Pertahanan di Khartoum. Penunjuk perasaan mengancam bantahan sejuta orang jika majlis pemerintah tentera enggan menyerahkan kuasa kepada kerajaan awam. -Foto Reuters
Seorang penunjuk perasaan Sudan memakai topeng Guy Fawkes mengibarkan bendera negara di luar ibu pejabat Kementerian Pertahanan di Khartoum. Penunjuk perasaan mengancam bantahan sejuta orang jika majlis pemerintah tentera enggan menyerahkan kuasa kepada kerajaan awam. -Foto Reuters

3 anggota majlis tentera Sudan letak jawatan

KHARTOUM: Tiga anggota majlis pemerintah tentera Sudan meletak jawatan semalam selepas ia berkata mencapai ‘perjanjian untuk semua tuntutan’ dengan pemimpin bantahan yang mengancam perarakan sejuta orang bagi menuntut peralihan kepada kerajaan awam.

Anggota majlis tentera seramai 10 orang menjemput pemimpin bantahan untuk berbincang selepas mereka menggantung rundingan dengan pemerintah tentera Ahad lalu.

“Kami mencapai satu perjanjian terhadap kebanyakan tuntutan dibentangkan dalam dokumen Pakatan Kebebasan dan Perubahan,” kata Leftenan Jeneral Shamseddine Kabbashi, jurucakap majlis pemerintah tentera kepada media selepas pertemuan antara majlis itu dan pemimpin kumpulan payung yang mengetuai pergerakan bantahan.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan tuntutan utama penyerahan kuasa kepada sebuah kerajaan awam namun berkata, tiada ‘perselisihan besar.’

Seorang daripada pemimpin bantahan yang hadir pertemuan itu, Ahmed al-Rabia, berkata, kedua-dua pihak juga bersetuju membentuk jawatan kuasa bersama, namun tidak menjelaskan untuk apa.

Beberapa minit kemudian dalam satu kenyataan berasingan, majlis tentera mengumumkan, tiga anggota badan pemerintah itu meletak jawatan.

Mereka adalah Leftenan Jeneral Omar Zain al-Abdin, Leftenan Jeneral Jalaluddin Al-Sheikh dan Leftnenan Jeneral Al-Tayieb Babikir.

Perkembangan lewat malam semalam berlaku ketika Siddiq Farouk, seorang daripada pemimpin bantahan memberitahu media, penunjuk perasaan ‘sedang bersiap sedia melancarkan bantahan umum’ jika majlis pemerintah tentera enggan menyerahkan kuasa kepada sebuah pentadbiran awam.

Beliau juga berkata, ‘satu perarakan sejuta orang’ dirancang, mengesahkan gesaan untuk bantahan mega hari ini oleh Persatuan Profesional Sudan (SPA), kumpulan yang paling awal melancarkan protes terhadap Presiden disingkir Omar al-Bashir Disember lalu.

Buat kali pertama, hakim Sudan berkata, mereka akan menyertai bantahan duduk di luar ibu pejabat tentera ‘bagi menyokong perubahan dan sebuah badan perundangan bebas.’

Bantahan itu bermula di bandar tengah Atbara 19 Disember 2018 susulan keputusan kerajaan Omar menaikkan harga roti sehingga tiga kali ganda. -AFP

Berita Harian X