Rabu, 24 April 2019 | 9:38am
Penunjuk perasaan Sudan mengalu-alukan ketibaan sebuah kereta api membawa rakan mereka dari Atbara, tempat kelahiran bantahan yang menumbangkan Presiden disingkir Omar al-Bashir, ketika menghampiri ibu pejabat tentera di Khartoum, semalam. -Foto Reuters.
Penunjuk perasaan Sudan mengalu-alukan ketibaan sebuah kereta api membawa rakan mereka dari Atbara, tempat kelahiran bantahan yang menumbangkan Presiden disingkir Omar al-Bashir, ketika menghampiri ibu pejabat tentera di Khartoum, semalam. -Foto Reuters.

AS sokong 'tuntutan sah' rakyat Sudan

KHARTOUM: Amerika Syarikat (AS) menyokong ‘tuntutan sah’ rakyat Sudan untuk kerajaan awam, kata seorang pegawai atasan semalam ketika pemerintah tentera negara itu menolak gesaan pemindahan kuasa.

“Kami menyokong tuntutan sah rakyat Sudan untuk sebuah kerajaan awam dan kami berada di sini untuk menggesa serta menggalakkan pihak berkenaan bekerja bersama bagi mengembangkan agenda secepat mungkin.

“Rakyat Sudan sudah membuat tuntutan mereka dengan jelas. Kami mahu menyokong mereka sebagai jalan terbaik ke arah masyarakat yang menghormati hak asasi manusia, menghormati undang-undang dan berupaya menguruskan negara itu dalam isu serius,” kata Timbalan Penolong Setiausaha untuk timur Afrika Jabatan Negara AS, Makila James.

Ketika kunjungannya ke sini, James bertemu ketua majlis tentera Sudan, Leftenan Jeneral Abdel Fattah al-Burhan dan beberapa pegawai lain.

Majlis tentera mengambil alih kuasa selepas menyingkirkan pemimpin rejim sekian lama, Omar al-Bashir pada 11 April lalu berikutan kebangkinan popular menentang pemerintahan kuku besi selama tiga dekad beliau.

Namun sejak itu, ribuan penunjuk perasaan berkumpul di luar kompleks tentera menuntut pemerintah menyerahkan kuasa kepada pentadbiran awam.

Ahad lalu, pemimpin bantahan menggantung rundingan dengan majlis berkenaan. -AFP

Berita Harian X