Ahad, 14 April 2019 | 7:56am
Ratusan penduduk Sudan melaungkan slogan semasa protes susulan penyingkiran pemimpin autokratik, Presiden Omar al-Bashir di luar ibu pejabat Tentera di Khartoum, Sudan, semalam. - Foto EPA
Ratusan penduduk Sudan melaungkan slogan semasa protes susulan penyingkiran pemimpin autokratik, Presiden Omar al-Bashir di luar ibu pejabat Tentera di Khartoum, Sudan, semalam. - Foto EPA

Pemimpin baharu majlis tentera Sudan janji tubuh kerajaan awam

KHARTOUM: Pemimpin baharu majlis tentera Sudan berkata semalam, kerajaan awam akan dibentuk selepas berunding dengan pihak pembangkang dan berjanji tempoh peralihan itu akan berjalan tidak lebih dua tahun.

Penunjuk perasaan bagaimanapun terus memberi tekanan mengharapkan perubahan pantas susulan penyingkiran pemimpin autokratik, Presiden Omar al-Bashir Khamis lalu.

Dalam ucapan kali pertama beliau di televisyen, Leftenan Jeneral Abdel Fattah al-Burhan Abdelrahman menarik semula perintah berkurung waktu malam dan mengarahkan pembebasan semua tahanan di bawah undang-undang darurat yang dikenakan Bashir sebelum kejatuhan beliau.

Pada mesyuarat di antara majlis peralihan tentera dan kumpulan gabungan pembangkang, termasuk penganjur protes, penunjuk perasaan menuntut orang awam turut serta dalam majlis berkenaan, kata seorang aktivis pembangkang.

Mereka akan menghantar nama ahli yang dicadangkan hari ini. Majlis itu turut berjanji untuk memansuhkan semua undang-undang yang menyekat kebebasan, kata aktivis berkenaan.

Penganjur kumpulan protes utama, Persatuan Profesional Sudan (SPA) dalam satu kenyataan berkata, maklum balas majlis berkenaan adalah tidak memuaskan dan menggesa tunjuk perasaan diteruskan.

SPA berkata antara tuntutan utamanya adalah penstrukturan semula Perkhidmatan Perisikan dan Keselamatan Kebangsaan (NISS), pembubaran pasukan militia yang beroperasi di bawah Bashir dan penahanan semua pemimpin rasuah yang terbabit dalam apa yang disifatkan sebagai jenayah terhadap rakyat.

Sehingga kini, ribuan rakyat terus melancarkan tunjuk perasaan di hadapan Kementerian Pertahanan di tengah bandar Khartoum. - Reuters

Berita Harian X