Isnin, 25 Februari 2019 | 8:01am
PEGAWAI polis mengawal pintu pagar pusat pengumpulan undi di Port Harcourt, di selatan Nigeria. - Foto AFP
PEGAWAI polis mengawal pintu pagar pusat pengumpulan undi di Port Harcourt, di selatan Nigeria. - Foto AFP

39 maut keganasan pilihan raya Nigeria

ABUJA : Seramai 39 orang maut dalam keganasan pilihan raya di Nigeria, kata kumpulan masyarakat awam semalam ketika seluruh negara sedang menantikan keputusan pengundian paling sengit sejak pemerintahan tentera berakhir pada 1999.

The Situation Room yang mewakili lebih 70 kumpulan masyarakat memberikan jumlah kematian berkenaan sehari selepas pengundian, memetik data milik syarikat perunding berpangkalan di Lagos, SBM Intelligence.

Pihak berkuasa dilaporkan turut bersiap sedia menghadapi kemungkinan lebih banyak kekacauan selepas keputusan pilihan raya diperoleh akhir minggu ini.

Presiden Mumammadu Buhari, 76 yang juga bekas pemerintah tentera berusaha mendapatkan penggal kedua dengan menggunakan platform anti rasuah dan bertemu Atiku Abubakar, 72, seorang ahli perniagaan serta bekas naib presiden dengan visi memperluaskan peranan sektor swasta.

Timbalan Ketua Polis, Abdulmajid Ali berkata, polis masih berusaha mendapatkan maklumat dan tidak dapat memberikan angka tepat jumlah kematian namun memberitahu, keganasan paling buruk berlaku di selatan Rivers serta Akwa Ibom.

Menurut laporan Pasukan Polis Nigeria, 128 individu telah ditahan seluruh negara atas kesalahan berkaitan pilihan raya termasuk pembunuhan, kecurian peti undi dan penipuan undi selain turut merampas 38 senjata serta bahan peletup.

The Situation Room berkata, insiden terburuk berlaku di Abonnema dalam negeri Rivers, kira-kira 14 kilometer di barat Port Harcourt yang menyaksikan tujuh orang maut dalam kejadian tembakan membabitkan kumpulan tidak dikenali dan tentera Nigeria.

Pemangku Perhubungan Awam tentera, Kolonel Sagir Musa berkata, motif serangan tidak diketahui.

Pasukan keselamatan Nigeria berdepan ancaman militan Islam di timur laut negara itu serta gangguan penjenayah di beberapa kawasan lain sejak sekian lama. - Reuters

Berita Harian X