Ahad, 17 Februari 2019 | 9:08am
PULUHAN pelombong haram masih terperangkap di kedua-dua premis itu. - Foto EPA
PULUHAN pelombong haram masih terperangkap di kedua-dua premis itu. - Foto EPA

24 mayat pelombong haram ditemui

HARARE: Pasukan penyelamat menemui 24 mayat serta lapan mangsa terselamat dari banjir yang melanda dua lombong emas semalam dan pihak berkuasa percaya, puluhan pelombong haram masih terperangkap di kedua-dua premis itu.

Stesen televisyen tempatan, Perbadanan Penyiaran Zimbabwe melaporkan, kerja-kerja menyelamat masih berterusan di Lombong Battlefields.

Dua lombong berkenaan sudah tidak digunakan lagi dan terletak berhampiran pekan Kadoma, 145 kilometer di barat daya Harare.

Laporan berkenaan menyebut, mangsa yang terselamat diberi rawatan awal di lokasi sebelum dibawa ke hospital dan berada dalam keadaan stabil.

Rakaman video memaparkan beberapa lelaki, berlumuran lumpur dibawa ke sebuah klinik bergerak untuk mendapatkan rawatan.

Dalam satu klip di Twitter, seorang mangsa terselamat memberitahu wartawan bahawa paras air meningkat sehingga mencecah leher, menyebabkan mereka terpaksa berdiri selama berhari-hari sebelum ia mulai surut.

Jumaat lalu kerajaan memberitahu bahawa antara 60 hingga 70 pelombong tanpa izin terperangkap dalam dua lombong.

Menteri tempatan, July Moyo dalam satu kenyataan berkata, mereka memerlukan bantuan AS$200,000 (RM816,900) untuk mengepam keluar air, memberi makan keluarga mangsa, membiayai kerja-kerja menyelamat, pengangkutan dan pengebumian.

Zimbabwe kini berdepan krisis ekonomi yang amat serius dan terburuk dalam tempoh 10 tahun. - AFP

Berita Harian X