Khamis, 14 Februari 2019 | 1:47am
KETUA hakim Nigeria, Walter Onnoghen dituduh gagal mengisytiharkan akaun bank mata wang asing yang melanggar peraturan pengisytiharan aset bagi penjawat awam. - Foto Premium Times Nigeria

Mahkamah arah tahan ketua hakim Nigeria

ABUJA: Seorang hakim mengarahkan pegawai polis paling kanan di Nigeria supaya menahan ketua hakim negara itu, selepas beliau digantung atas beberapa tuduhan melanggar peraturan pengisytiharan aset.

Pengerusi Tribunal Tatakelakuan, Danladi Umar mengeluarkan arahan itu, selepas hakim Walter Onnoghen gagal sekali lagi untuk tampil dalam perbicaraan bagi mengemukakan rayuan rasmi.

Bulan lalu, Onnoghen dituduh gagal mengisytiharkan akaun bank mata wang asing yang melanggar peraturan pengisytiharan aset bagi penjawat awam.

Presiden Muhammadu Buhari kemudian menggantung dan menggantikan beliau sehingga mencetuskan tuduhan campur tangan kerajaan dalam badan kehakiman, sebelum pilihan raya, ketika Onnoghen masih boleh mendengar mana-mana kes.

Minggu lalu, Umur menegaskan hakim itu patut tampil, semalam. Namun, beliau terpaksa menangguhkan kes itu apabila Onnoghen tidak hadir.

“Inspektor Jeneral Polis (Mohammed Adamu) diarahkan untuk menahan dan membawa defendan tanpa gagal dalam perbicaraan seterusnya mahkamah, Jumaat ini,” katanya.

Pembangkang Buhari mengesyaki penggantungan Onnoghen bermotifkan politik kerana beliau menukar beberapa sabitan kes rasuah. - AFP

Berita Harian X