Selasa, 22 Januari 2019 | 10:44am
Macky Sall (kiri) dan Adama Barrow melambai tangan ke arah orang ramai pada majlis perasmian Jambatan Senegambia di Farafenni. Foto AFP

Jambatan Senegambia hubungkan Gambia, Senegal

FARAFENNI (Gambia): Jambatan Senegambia yang menghubungkan Senegal dan Gambia dibuka secara rasmi selepas presiden dari kedua-dua negara menyempurnakan majlis perasmiannya, semalam.

Pembinaan jambatan sepanjang 10 kilometer merentasi Sungai Gambia itu, dijangka menyemarakkan aktiviti perdagangan dan perhubungan di Afrika Barat, selepas tertangguh sejak 1970-an.

Majlis perasmian diadakan di Farafenni, iaitu kawasan sempadan di antara kedua-dua negara.

“Saya sering tertanya, kenapa pembinaan jambatan ini mengambil masa yang lama, sedangkan semua pihak menyedari keadaan muka bumi Gambia dan Senegal hanya dipisahkan oleh sebatang sungai,” kata pemimpin Gambia, Adama Barrow, iaitu negara terkecil di benua Afrika yang hampir keseluruhannya dikelilingi oleh Senegal.

Pada masa sama, Presiden Senegal, Macky Sall, berkata: “Kita boleh berasa bangga kerana berjaya menjadikan impian rakyat sejak beberapa generasi kepada satu realiti”.

Ilham untuk membina jambatan itu tercetus pada 19790-an tetapi ia tertangguh selama beberapa kali berikutan perubahan hubungan antara Dakar dan Banjul, sebelum ia dimulakan kembali pada 2015.

Apabila siap ia berjaya memendekkan perjalanan dari utara Senegal ke wilayah selatannya di Casamance, tanpa perlu menempuh laluan sejauh 400 kilometer. - AFP

Berita Harian X