Ahad, 30 Disember 2018 | 2:53pm
PENGUNDI mengundi di Lubumbashi. - Foto AFP
PENGUNDI mengundi di Lubumbashi. - Foto AFP

Rakyat Congo mengundi hari ini

KINSHASA: Penduduk Republik Demokratik Rakyat Congo membanjiri pusat mengundi hari ini dengan harapan untuk mengubah masa depan negara bergolak itu, walau bimbang ia mungkin digugat aktiviti keganasan.

Berjuta-juta pengundi bakal memilih pengganti Presiden Joseph Kabila yang akan meletak jawatan dua tahun selepas penggalnya berakhir.

Pilihan raya kali ini memberi Congo peluang pertama merasai peralihan kuasa secara aman sejak mendapat kemerdekaan dari Belgium pada 1960.

Bagaimanapun, penganalisis berkata risiko keganasan adalah besar kesan daripada masalah yang wujud dalam pentadbiran dan rasa curiga terhadap Kabila.

Stesen pengundian dibuka seawal jam 6 pagi di timur negara itu, menyaksikan pegawai-pegawai dan pemerhati antara yang paling awal membuang undi di Lubumbashi. Undian dijangka dibuka sehingga jam 5 petang.

Seramai 21 calon bertanding dalam pilihan raya presiden kali ini, serentak dengan pemilihan badan perundangan dan perbandaran.

Antara calon utama termasuk anak didik Kabila, Emmanuel Ramazani Shadary, bekas menteri dalam negeri yang berdepan sekatan Kesatuan Eropah (EU) berikutan keganasan terhadap penunjuk perasaan.

Shadary bakal berdepan pesaing utama seperti Fayulu, seorang penggubal undang-undang dan bekas eksekutif petroleum selain ketua parti pembangkang veteran UDPS, Tshisekedi.

Menurut penganalisis, Jason Stearns dari Kumpulan Penyelidikan Congo yang berpangkalan di Pusat Kerjasama Antarabangsa Universiti New York, sekiranya pilihan raya ini ‘bebas dan adil’, calon pembangkang pasti akan menang.

Jelas Stearns, pungutan suara ramai menunjukkan Fayulu menjadi calon pilihan, meraih sekitar 44 peratus undian diikuti Tshisekedi dengan 24 peratus dan 18 peratus untuk Shadary.

Di antara 43 hingga 63 peratus responden berkata mereka tidak akan menerima keputusan sekiranya Shadary diumum sebagai pemenang, katanya.

Sementara itu, Kabila meyakinkan rakyat bahawa semuanya akan berjalan dengan lancar pada hari ini. - AFP

Berita Harian X