Ahad, 9 Disember 2018 | 7:56am
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Satu tan kokain dirampas di pelabuhan Maghribi

RABAT : Kerajaan Maghribi berjaya merampas lebih daripada satu tan kokain dan menahan tujuh individu disyaki terbabit menyeludup dadah itu dari Amerika Selatan ke Eropah.

Menurut kenyataan disiarkan agensi berita rasmi MAP, Biro Penyiasatan Pusat berkata kokain itu ditemui di dalam sebuah trak bersama sebuah bot di bandar pelabutan El Jadida.

Susulan rampasan, tujuh rakyat tempatan ditahan atas kaitan dengan jaringan jenayah transnasional yang terbabit dalam penyeludupan kokain antarabangsa antara Maghribi, Amerika Latin dan Eropah.

Pihak berkuasa berkata, maklumat diterima menyatakan kesemua dadah itu dibawa menaiki kapal komersil dari Amerika Selatan sebelum dipindahkan ke dalam bot menangkap ikan dan dibawa ke perairan Maghribi.

Penyeludup kokain membangunkan laluan baru ke Eropah sejak sedekad lalu.

Dadah terbabit kebanyakannya dihantar dari Amerika tengah melalui negara Afrika Barat dan paling terbaru melalui Afrika Utara, kata Pejabat Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Dadah dan Jenayah.

Kerajaan Maghribi sejak beberapa tahun kebelakangan ini melaporkan peningkatan kes rampasan kokain, termasuk rekod terbesar 2.5 tan pada Oktober tahun lalu. - AFP

Berita Harian X