Khamis, 25 Oktober 2018 | 6:00pm
Sahle-Work Zewde meninggalkan Parlimen selepas dipilih sebagai Presiden Wanita Pertama Ethiopia di Addis Ababa. - Foto REUTERS
Sahle-Work Zewde meninggalkan Parlimen selepas dipilih sebagai Presiden Wanita Pertama Ethiopia di Addis Ababa. - Foto REUTERS

Parlimen Habsyah lantik Presiden Wanita pertama

ADDIS ABABA: Parlimen Habsyah meluluskan pelantikan seorang diplomat kanannya, Sahle-Work Zewde sebagai presiden wanita pertama negara itu, mengukuhkan lagi perubahan dalam sistem politik diperkenalkan Perdana Menteri Abiy Ahmed.

Sahle-Work ketika ini bertugas sebagai penolong setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan wakil khas setiausaha agung ke Kesatuan Afrika (AU). Beliau menggantikan Mulatu Teshome Wirtu, yang meletak jawatan di Parlimen semalam.

Jawatan presiden adalah sebagai ketua adat istiadat di Habsyah. Perdana Menteri yang menjadi ketua negara, memegang kuasa eksekutif.

“Dalam satu langkah bersejarah, dua dewan memilih Duta Shalework Zewde sebagai Presiden Habsyah berikutnya. Beliau adalah ketua wanita pertama dalam Habsyah moden.

“Dalam sebuah masyarakat mementingkan lelaki seperti kita, pelantikan ketua negara tidak hanya menetapkan standard untuk masa depan namun membiasakan wanita sebagai pembuat keputusan dalam kehidupan umum,” kata ketua turus kakitangan Abiy, Fitsum Arega di Twitter.

Minggu lalu, Abiy merombak kabinetnya, melantik 10 menteri wanita, menjadikan Habsyah negara ketiga di Afrika selepas Rwanda dan Seychelles, mencapai kesaksamaan jantina dalam kabinet.

“Apabila tiada perdamaian dalam negara, ibu akan kecewa. Justeru, kita perlu bekerja untuk perdamaian demi ibu kita,” kata Sahle-Work kepada Parlimen selepas pelantikannya. -Reuters

Berita Harian X