Rabu, 17 Oktober 2018 | 2:28pm
GAMBAR fail, Perdana Menteri Habsyah, Abiy Ahmed. - Foto REUTERS
GAMBAR fail, Perdana Menteri Habsyah, Abiy Ahmed. - Foto REUTERS

Separuh anggota Kabinet Habsyah adalah wanita

ADDIS ABABA: Perdana Menteri Habsyah, Abiy Ahmed, semalam menamakan barisan Kabinet baru yang lebih kecil dengan separuh daripada 20 anggotanya adalah wanita.

Malah, anggota wanita terbabit diberi jawatan penting termasuk portfolio baru iaitu Kementerian Keamanan bagi mengawasi hal ehwal polis dan agensi perisikan, kata Ketua Turus, Fitsum Arega.

Berikutan itu, Habsyah menjadi negara Afrika kedua selepas Rwanda untuk mencapai kesamarataan jantina dalam Kabinetnya bersama beberapa negara di benua lain.

“Wanita akan mengurus portfolio penting termasuk Kementerian Keamanan, Perdagangan dan Industri serta Pertahanan,” menurut tweet Arega.

Menteri Pertahanan baru ialah Aisha Mohammed yang juga wanita pertama dipilih memegang jawatan itu. Beliau sebelum ini adalah Menteri Pembinaan dan sebelum ini ditugaskan di Kementerian Pelancongan.

Aisha berasal dari wilayah miskin dan sering kemarau iaitu Afar, di mana beliau pernah bertugas sebagai ketua di pejabat pencegahan bencana.

Menteri Keamanan, Muferiat Kamil pula adalah bekas speaker parlimen. Kabinet sebelum ini mempunyai 28 menteri dan hanya lima daripada mereka adalah wanita.

Di Afrika, Kenya ketika ini turut memilih wanita ke jawatan Menteri Pertahanan iaitu Raychelle Omamo manakala Afrika Selatan, Guinea-Bissau, Cape Verde, Madagascar, Sao Tome dan Principe, Gabon, Nigeria dan Republik Afrika Tengah pernah melantik wanita ke jawatan itu.

Rombakan Kabinet Habsyah adalah antara beberapa langkah pembaharuan dramatik oleh Abiy sejak beliau mengambil alih pada April lalu selepas lebih dua tahun rusuhan antikerajaan melanda yang membawa kepada peletakan jawatan bekas pemimpin terdahulu. - AFP

Berita Harian X