Jumaat, 21 September 2018 | 8:08am
PASUKAN kecemasan Ghana menyelamat mangsa banjir di bandar Accra, pada 2016. - Foto fail EPA
PASUKAN kecemasan Ghana menyelamat mangsa banjir di bandar Accra, pada 2016. - Foto fail EPA

34 maut akibat banjir di Ghana

ACCRA: Sekurang-kurangnya 34 maut dalam kejadian banjir yang melanda utara Ghana, susulan hujan lebat dan limpahan air dari empangan di Burkina Faso.

Empangan Bagre yang terletak di sungai White Volta di Burkina Faso, mengalir menuju ke Tasik Volta di selatan Ghana.

Pihak berkuasa melepaskan air di empangan itu setiap kali musim tengkujuh dan limpahannya sering mengakibatkan banjir di sepanjang laluan sungai terbabit.

Timbalan Ketua pertubuhan Pengurusan Bencana Kebangsaan Ghana, Seji Saji, berkata keadaan masih terkawal dan pihak sedang bertungkus lumus membantu penduduk yang terjejas.

“Setakat ini, 34 kematian direkodkan dan dua lagi dilaporkan hilang. Lebih 52,000 penduduk terjejas dalam kejadian ini dan kami masih menilai keadaan dari masa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Ghana, Nana Akufo-Addo dan kerajaan pimpinannya dikritik hebat kerana tidak melawat mangsa banjir.

“Orang ramai mahu berjumpa dengan presiden, malah ingin presiden menenangkan mereka, selain memberi jaminan insiden ini tidak akan berlaku lagi,” kata pengurus kempen dan program, agensi bantuan Oxfam di Ghana, Zakaria Sulemana.

Bagaimanapun, Saji berkata, Naib Presiden, Mahamudu Bawumia bakal melawat mangsa banjir akhir minggu ini. - AFP

Berita Harian X