Sabtu, 30 Jun 2018 | 7:34am
SEKURANG-KURANGNYA enam orang terkorban dan beberapa lagi cedera dalam serangan ke atas sebuah ibu pejabat petugas pasukan antipengganas G5 Sahel, Mali. - Foto AFP

Enam maut serangan terhadap ibu pejabat pasukan antipengganas

BAMAKO: Sekurang-kurangnya enam orang terkorban dan beberapa lagi cedera dalam serangan ke atas sebuah ibu pejabat petugas pasukan antipengganas G5 Sahel, Mali, semalam.

"Sejurus selepas solat Jumaat, seorang pengebom nekad dalam kenderaan yang dicat warna Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), meletupkan diri di pintu masuk pangkalan G5 di Sevare. Ia satu letupan besar," kata sumber tentera di pasukan G5 Sahel memberitahu AFP.

Ia adalah serangan kali pertama terhadap ibu pejabat pasukan lima negara yang ditubuhkan pada 2017 untuk mengekang pemberontak dan kumpulan jenayah di rantau Sahel yang luas dan tidak stabil.

Serangan berlaku tiga hari sebelum berlangsungnya satu mesyuarat di ibu negara Nouakchott antara Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan ketua-ketua negara G5 Sahel bagi membincangkan kemajuan dilakukan pasukan tentera.

Menurut sumber hospital dan tentera, enam orang terbunuh dalam serangan itu sambil memberikan jumlah yang tidak tepat.

"Kami membawa mayat dan mangsa cedera ke hospital, tetapi kami tidak tahu sama ada beberapa daripada mereka yang cedera itu sudah meninggal di hospital.

"Enam orang terbunuh dalam serangan itu," kata sumber yang memberitahu AFP. -AFP.

Berita Harian X