Selasa, 5 Jun 2018 | 8:12pm
Kapal dilihat berlabuh di selatan pulau Kerkenna, lokasi dimana pendatang berlepas sebelum tenggelam. - Foto REUTERS
Kapal dilihat berlabuh di selatan pulau Kerkenna, lokasi dimana pendatang berlepas sebelum tenggelam. - Foto REUTERS

Angka kematian bot karam meningkat 60

TUNIS: Angka kematian susulan kapal dipenuhi pendatang yang karam di perairan Tunisia kelmarin meningkat kepada sekurang-kurangnya 60, kata agensi pendatang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (IOM).

Bot yang terlebih muatan itu karam berhampiran pulau Kerkenna. Sekurang-kurangnya 100 terbunuh atau hilang, menurut IOM.

"Dalam kalangan 60 mangsa yang dipindahkan ke jabatan forensik di hospital Habib Bourguiba di Sfax, 48 rakyat Tunisia, 12 warga asing, proses pengenalan sedang dilakukan," kata ketua misi IOM di Tunisia, Lorena Lando, dalam kenyataan lewat semalam.

Penyeludup manusia semakin kerap menggunakan Tunisia sebagai tapak pelancaran kepada pendatang yang mahu ke Eropah apabila pengawal pantai Libya, yang dibantu kumpulan bersenjata, mengetatkan kawalan.

Keluarga dan kenalan membawa keranda mayat saudara mereka antara 60 yang maut akibat tenggelam di Mediterranean, tiba di Sfax, Tunisia. - Foto EPA-EFE
Keluarga dan kenalan membawa keranda mayat saudara mereka antara 60 yang maut akibat tenggelam di Mediterranean, tiba di Sfax, Tunisia. - Foto EPA-EFE

Pihak berkuasa Tunisia, yang berkata sudah menemui 48 mayat kelmarin, tidak memberikan angka baru tetapi berkata pengawal pantai masih mencari puluhan lagi pendatang yang hilang.

IOM berkata, 68 diselamatkan iaitu 60 rakyat Tunisia, dua Maghribi, seorang Libya, seorang Mali, seorang warga Cameroon dan tiga Ivory Coast.

Pasukan keselamatan berkata, bot itu dinaiki 180 pendatang dari beberapa negara Afrika lain.

Mangsa terselamat berkata, kapten meninggalkan bot selepas ia mula karam untuk mengelak ditangkap pengawal pantai. - Reuters

Berita Harian X