Khamis, 31 Mei 2018 | 11:25pm
YAHYA Jammeh. - Foto AFP
YAHYA Jammeh. - Foto AFP

Mangsa rawatan palsu AIDS saman bekas Presiden Gambia

DAKAR: Tiga mangsa penawar palsu AIDS dicipta bekas Presiden Gambia, menyaman beliau dan menuntut pampasan hari ini dalam kes pertama terhadap Yahya Jammeh yang sampai ke mahkamah kebangsaan sejak pemimpin itu lari dalam buangan.

Ketiga-tiga tuntutan saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi ibu kota Banjul hari ini kata badan kebajikan berpusat di Amerika Syarikat (AS) AIDS-Free World, yang membantu mangsa mengumpul bukti.

Jammeh, yang mana pemerintahannya selama 22 tahun di negara kecil Afrika Barat itu dicemari tuduhan penderaan hak asasi manusia, lari ke Equatorial Guinea tahun lalu selepas kalah dalam pilihan raya.

Ousman Sowe, Lamin Ceesay dan Fatou Jatta antara rakyat Gambia pertama yang menyertai program rawatan HIV/AIDS pada 2007 di mana mereka terpaksa melupakan ubatan anti-retroviral dan minum campuran herba.

Keadaan kesihatan mereka bertambah buruk sementara yang lain dalam program itu menemui ajal.

"Saya percaya, adalah menjadi tanggungjawab saya membawa Jammeh ke muka pengadilan. Saya tahu satu hari nanti kisah sebenar akan diceritakan," kata Sowe, bekas pensyarah universiti berusia 60-an. -Reuters

Berita Harian X