Ahad, 27 Mei 2018 | 8:00am

20 maut dalam pertempuran di Cameroon

YAOUNDE (CAMEROON) : Seramai 20 orang maut selepas terbabit dalam pertempuran bersama tentera di kawasan timur laut Cameroon, kata seorang ahli parlimen dari parti pembangkang, semalam.

Niji Tumasang, anggota parti pembangkang, Barisan Demokratik Sosial berkata, pertempuran berkenaan berlaku di Menka, membabitkan pasukan tentera dan sekumpulan lelaki yang dianggap sebagai penjenayah.

Keganasan antara puak pemisah bersenjata dan pasukan tentera berlaku hampir setiap hari di rantau Timur Laut serta Barat Daya, susulan krisis yang memuncak sejak 2016.

Seorang pegawai tentera mengesahkan pertempuran itu sambil merujuk kepada beberapa anggota pengganas.

Jurucakap tentera, Kolonel Didier Badjeck dalam kenyataan di Facebook berkata, sekumpulan pengganas dilaporkan berada di Menka dan pasukan tentera terpaksa mengepung hotel yang menjadi lokasi persembunyian mereka.

Beliau menambah, seorang pengintip memaklumkan kehadiran pihak tentera kepada pasukan pengganas, menyebabkan berlakunya insiden berbalas tembakan selama beberapa minit.

"Kami berjaya merampas beberapa senjata api dan peluru," katanya. - AFP

Berita Harian X