Selasa, 15 Mei 2018 | 8:06pm

Kanak-kanak albino jadi korban ajaran sesat

BAMAKO: Sekumpulan lelaki menculik dan memancung kepala budak perempuan albino berusia lima tahun di Mali hujung minggu lalu, kata polis, dalam apa yang dibimbangi menjadi mangsa pembunuhan ajaran sesat yang mahukan bahagian tubuh mangsa.

Djeneba Diarra, yang menetap bersama keluarganya di kampung Fana, kira-kira 125 kilometer ke utara Bamako 'sedang tidur bersama ibu dan kakaknya' apabila sekumpulan lelaki menculiknya kira-kira jam 2.00 pagi waktu tempatan kelmarin, kata polis semalam.

Ibu mangsa pada mula cuba mengejar penculik, yang memanjat tembok dengan anak perempuannya itu, tetapi kembali ke rumah untuk melindungi seorang lagi anaknya, juga albino.

"Kami mencapai kanak-kanak itu merata-rata. Kami temui mayatnya tanpa kepala di tepi masjid," kata guru kampung itu, Oumar Diakite.

Menyalahkan masalah keselamatan bagi pembunuhan itu, penduduk tempatan yang marah membakar ibu pejabat polis di Fana, menurut beberapa saksi.

"Kami mahukan keadilan. Kepala mangsa diambil. Ini jenayah ajaran sesat," kata aktivis Mamadou Sissoko.

Beliau, yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan Albino Afrika Barat (FAPAO), mengaitkan jenayah terhadap albino dengan acara politik, menjelang pilihan raya presiden Mali pada 29 Julai ini.

"Setiap kali ada pilihan raya, kami menjadi mangsa mereka yang mahu melakukan acara korban.

"Ini bukan pertama kali kejadian seperti ini berlaku di Fana. Negara perlu mengambil ini sebagai tanggungjawab," katanya. - AFP

Berita Harian X