Jumaat, 11 Mei 2018 | 3:21am
YAHYA JAMMEH

Gambia jual harta bekas presiden

BANJUL: Gambia menjual beberapa pesawat dan sejumlah kereta mewah yang dibeli oleh bekas Presiden Yahya Jammeh untuk mengurangkan hutang kerajaan yang dibuat ketika tempoh pemerintahan panjang diktator itu.

Jammeh merampas kuasa pada 1994 dan melarikan diri dari Gambia pada tahun lalu, ketika beberapa negara jiran Afrika dijangka campur tangan secara ketenteraan untuk menggulingkan beliau kerana enggan meletak jawatan susulan kekalahan pilihan raya kepada Presiden Adama Barrow.

Kebanyakan rakyat negara itu miskin di bawah antara rejim paling kejam di Afrika Barat, namun Jammeh mengumpul banyak kekayaan yang dibawa bersamanya dalam beberapa pesawat ke Equatorial Guinea.

Bagaimanapun, sejumlah kenderaan termasuk beberapa kereta Rolls-Royce yang tertulis nama Jammeh pada kerusi kulitnya ditinggalkan di landasan kapal terbang.

"Semua kereta mewah di State House dan tiga pesawat yang dibeli bekas Presiden Yahya Jammeh sedang dijual. Kementerian akan menerbitkan harga jualannya tidak lama lagi," kata Menteri Kewangan Amadou Sanneh.

Kelmarin, Tabung Kewangan Antarabangsa memberi amaran terhadap Gambia supaya tidak melakukan pinjaman baharu selepas hutang negara itu mencecah 130 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat akhir tahun lalu. - Reuters

Berita Harian X