Khamis, 10 Mei 2018 | 7:10pm

Nigeria pertingkat imbasan di lapangan terbang susulan Ebola

ABUJA: Nigeria meningkatkan ujian imbasan di lapangan terbang dan pintu masuk lain sebagai langkah berjaga-jaga susulan wabak Ebola di Republik Demokratik Congo, kata perkhidmatan imigresen hari ini.

Sekurang-kurangnya 17 maut di sebuah kawasan di barat laut Congo, dua tahun selepas wabak terburuk virus itu tamat di Afrika Barat dan meragut lebih 11,300 nyawa serta menjejaskan kira-kira 28,600 orang, terutama di Guinea, Sierra Leone dan Liberia.

Nigeria dipuji kerana berjaya membendung virus itu pada 2014 dengan lapan kematian, susulan kebimbangan ia boleh tersebar di ibu kota komersial didiami 20 juta orang serta seluruh negara paling padat Afrika dengan 180 juta penduduk itu.

Perkhidmatan Imigresen Nigeria (NIS) berkata, termometer digunakan untuk memantau pengunjung ke dalam negara itu sejak virus terbabit kali terakhir menjangkiti rantau berkenaan. Imbasan dipertingkat sejak wabak terbaharu di Congo.

"Kami menggunakan semua kemudahan yang ada untuk mengesan virus terbabit. Ia bermaksud tambahan penggunaan termometer.

"Kita perlu mengambil langkah tambahan untuk memastikan pelawat diimbas di semua pintu masuk ke dalam negara," kata jurucakap NIS, Sunday James menerusi telefon.

Ebola merebak ke Nigeria pada 2014 apabila seorang diplomat Liberia-Amerika, Patrick Sawyer, terbang ke negara itu dari Liberia, rebah di lapangan terbang utama di Lagos.

Menteri Kesihatan, Isaac Adewale lewat semalam berkata, kabinet mengarahkan kementeriannya mewujudkan pemantauan kecemasan di semua sempadan darat dan lapangan terbang dengan penekanan khusus mengimbas pelawat dari Congo.

"Pusat Kawalan Penyakit Nigeria (NCDC) juga menimbang menghantar beberapa pasukan ke Congo sebagai sebahagian pembangunan kapasiti bagi mengurus wabak," kata Adewale kepada media. -Reuters

Berita Harian X